Followers

BAITII JANNATII

Memori Greduasi Anak2ku

SANAH HELWAH YA HABIIBII

Sanah Helwa Yaa Zawjatii 
30 OKTOBER 2018
Moga dalam usiamu yang ke 53 ini
Allah memberikan nikmat iman, kesihatan dan keriangan. Itulah rezeki sebenarnya yang diharapkan seorang hamba dari Penciptanya. Aamiin.





TAQDIR KEHIDUPAN
25 hb Oktober 2018

Assalaamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Mengawali bicara dalam tajuk Baitii Jannaii,terjentik hati untuk berkongsi dalam persoalan Taqdir atau destini kehidupan Insan. Al Maklum , sehingga ke saat ini kita telah menerima berbagai berita tentang musibah yang melanda di alam Allah ini. Yang terdekat adalah gempa bumi dengan kekuatan 7,7 skala Richter terjadi di 27km timur laut Donggala , turut mengakibatkan  tsunami berketinggian 1,5-6 meter yang melanda Palu dalam Kabupaten Donggala , Wilayah Sulewasi Tengah pada 28 Sept 2018.
 Ini adalah pautan taqdir  dalam perjalanan 800 insan yang terkorban dalam musibah  di bumi Sulawesi ini, di samping ribuan penduduk lain yang tercedera , sakit atau yang kehilangan harta benda mahupun kediaman mereka. Demikian seadanya insan-insan lain yang menderita akibat gempa bumi di Lombok sebulan sebelumnya iaitu pada 28 Ogos 2018.
  Kini kita dikejutkan pula oleh peristiwa jatuhnya pesawat Lion Air di perairan Karawang Jakarta Utara dan mengakibatkan terkorbannya 181 penumpang dan anak kapal.  Demikian halnya peristiwa-peristiwa lain yang mengakibatkan kematian dan kemusnahan yang  menyanyat hati, terus berlaku di merata sudut dunia.Kita di Malaysia dan khususnya di Sabah ini tidak terkecuali menerima ujian dari Allah. Ada saja berita kemusnahan harta dan kehilangan jiwa yg membabitkan insan2 dalam lingkungan kita . Pasti bahangnya turut dirasakan sama oleh seluruh ahli keluarga yang hidup , jiran tetangga dan insan yang bersimpati  dari seluruh penjuru alam.
  Di saat yang sangat mengharukan seperti ini, kelihatan pula sekelompok atau sekomuniti insan lain yang sedang menikmati keriangan dan berseronok dengan kehidupan maksiat dan jenayah  kezaliman sesama insan .Mereka hanyut dalam kelazatan dosa dan noda tanpa menghiraukan kutukan dan templakan laknat Allah terhadap kehancuran yang dilakukan.Malah peringatan dan kutukan insan sejagat yang dilemparkan kepada maksiat yang dilakukan, langsung  tidak menurunkan darjah keangkuhan sang firaun di dalam diri-diri mereka.        
 Justeru mempercayai qada dan qadar adalah salah satu dari Rukun Iman yang wajib ditaati oleh setiap ummat Islam yang beriman.Lantas arahkan pandangan kita kepada setiap kegemilangan mahu pun musibah yang berlaku di sekitar kita. Ajukanlah pertanyaan , apakah itu taqdir daripada Allah?. Tidakkah setiap musibah itu bertentangan dengan kehendak kita yang sentiasa mengharapkan gemilang dalam kehidupan? Apakah Allah tidak mendengar apa yang kita hajatkan selama ini?. Sedangkan  Allah telah berfirman dalam Surah Al Mukminun ayat 60 yang bermaksud : " Pohonlah kepada Aku, nescaya akan Aku perkenankan ".
  Menyorot kenyataan Allah Yang Maha Kuasa ini,apakah   diri kita yang total bergelar seorang hamba pernah memohon  sesuatu hajat kepadaNya? Apakah kita pernah menadah kedua tangan kita bak fakir tegar menagih kasih yang penuh mengharap perkenan  Kholiq Pencipta?. Pernahkah kita melazimkan diri kita untuk bangun di malam hari dan mengungkapkan zikir-zikir tasbih, tahmid atau takbir dalam irama nafas seorang insan kerdil tanpa mengharapkan pujian dari setiap makhluk selain Allah? Benarkah kita telah melakukan munajat kepadaNya atas nilai insan yang serba lemah dan tiada daya dan upaya ?

  Andai jawapannya ya ,Alhamdulillah, kita telah menyingkirkan martabat makluk yang sombong di dalam diri kita.Menujulah kita ke destinasi hamba yang terus redha dengan apa juga yang menjelma di hadapan kita.Andai yang datang itu bersifat baik dan menyenangkan , sesungguhnya Allah telah meredhai yang datang itu untuk kita nikmati.Ia wajib disyukuri dan rela pula  untuk menginfakkannya di jalan Allah. Jangan lupa bahawa limpahan rezeki yang diberikan kepada kita itu adalah sebahagian dari amanah dan rangkaian aliran rezeki yang turut dicicipi oleh makhluk-makhluk lain di persekitaran kita.
  Sebaliknya apabila suatu musibah menjelma di hadapan seorang yang beriman , itu juga merupakan kurniaan dan kasih sayang Allah terhadap amal dan iman mereka.Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menerima sambutan hambar dan penghinaan dari masyaakat Toif ketika melakukan seruan dakwah. Pemuka masyarakatnya yang diketuai oleh Ibnu Yalil bin Abdu Kulal telah menolak seruan Islam Rasulullah SAW dan menghalau beginda yang berwajah mulia itu untuk meninggalkan kota Toif. Malah kepergian Junjungan Nabi Muhammad SAW dan rombongannya diiringi keluar dengan ejekan dan lemparan batu-batu oleh para pemuda Toif.

  Betapa perasaan Rasulullah SAW ketika itu?Bayangkan betapa beginda ditolak oleh seluruh penduduk kota Toif? Malah dahi beginda yang mulia turut luka dan berdarah kerana lemparan batu para pemudanya.Dan ketika beginda berjumpa  satu tempat yang aman dari kejahatan penduduk Toif , beginda memanjatkan doanya kepada Allah seperti yang dijelaskan dari Hadith Riwayat Thabrani. Menurut Al Haitsami dalam kitabnya jilid VI halaman 35.

" Ya Allah, aku mengadukan kepada Mu akan lemahnya kekuatanku dan sedikitnya daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Yang Maha Rahim dari sekalian rahimin.Engkaulah Tuhannya orang2 yang merasa lemah dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah Engkau serahkan diriku. Kepada musuh yang menghinaku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku. Tidak ada keberatan bagiku asal saja aku tetap dalam keridhaanMu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya WajahMu Yang Mulia yang menyinari seluruh langit dan menerangi semua yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMU. Kepada Engkaulah aku mengadukan urusanku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan melalui Engkau"
  Demikian sedihnya doa yang dipanjatkan Rasulullah SAW sehingga Malaikat Jibril datang  memberikan salam dan menyatakan kehadirannya adalah untuk meminta kata putus dari Rasulullah SAW untuk memusnahkan penduduk Toif yang sombong dan angkuh. 
     Bagaimanapun Rasulullah SAW tidak mengizinkan nya. Sesungguhnya beginda masih mengharapkan agar penduduk Toif akan memeluk Islam dan menerima seruan agama yg dibawanya. Kejahatan mereka justeru kerana kejahilan mereka. Dan ternyata doa beginda telah diperkenankan Allah apabila penduduk Toif akhirnya telah memeluk Islam keseluruhannya.
    Justeru andai nya dihalusi secara saksama, seorang insan yang telah merasa kemanisan iman ,pastinya senantiasa di dalam hidupnya menyerahkan kehidupannya dengan munajat dan anugerah kasih sayang Ilahi. Justeru setiap yang diserlahkan Allah kepadanya sama ada rezeki atau kebahagiaan dalam kehidupan , itulah suatu pemberian dari Allah. Malah andainya yang diserlahkan itu pula bersifat buruk pada penglihatan manusia , umpamanya fitnah, kerugian, aniaya,kejatuhan, kemalangan dan seumpamanya , itu juga merupakan  suatu kebaikan untuk golongan mukmin agar terus muhasabah dan menginsafi diri.

    Sesungguhnya kita adalah hamba yang tidak lekang dengan kelemahan. Lihat bagaimana sifat Rasulullah SAW ketika mengalami musibah?.Beginda lantas bertenang dan munajat kepada Allah dan seumpama mengakui kelemahan diri di atas insiden yang berlaku. Justeru setiap kerugian itu tersirat sesuatu yang kenikmatan bagi mereka yang berfikir. Sifat2 mazmumah seperi angkuh ,sombong dan takabbur, wajib disisihkan langsung dari dalam diri.
     Lihatlah sekujur tubuh kita, sehingga ke dalamam2nya, tiada satu menjadi milik kita.Yang kita pandang, kita dengar, kita hidu atau kita rasa , semuanya limpah kasih dari Allah. Dari sudut fizikal, otak dan pemikiran , semuanya adalah secuil dari kurniaan Allah. Malah yang tak kelihatan namun dapat dinikmati semaksimum nya seumpama RUH dan nyawa , juga bersifat sementara yang bila2 masa akan ditarik secara kasih atau paksa oleh pemiliknya. Allah Yang Maha Pemilik semuanya. Apakah kesudahan hayat dengan jasad yang hancur musnah atau menghadapi sakaratul maut dengan tenang di atas pembaringan, Allahuakbar...itulah milik dan ketentuan Allah juga.

   Justeru ada golongan kuffar yang melemparkan kemarahan kerana kononnya Tuhan itu kejam melakukan kebinasaan di alam maya ini. Lihatlah apabila berlakunya musibah dek taufan yang melanda, letusan gunung berapi ,banjir , gempa bumi dan seumpamanya, bak suatu kemusnahan kilat yang takkan mampu ditangani oleh akal cerdik manusia.

    Saya teringat kenyataan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz suatu ketika semasa hayatnya. Beliau diselar golongan politik pemerintah lantaran terungkap satu kalimat dari bibirnya yang mengatakan Allah itu samseng.Sedang pada hakikatnya ulamak yang bermartabat sufi itu menjelaskan bahawa semua musibah yang melanda alam ini adalah perlakuan nyata dilontarkan kepada golongan yang tidak tahu bersyukur.

  Jelas di dalam Surah Ibrahim ayat 7 , Allah memberi arahan wajib agar hamba2Nya  bersyukur atau mereka akan menerima azab yang pedih sebagai hukuman yang diuntukkan pada golongan yang kufur. Itu adalah ketentuan Sang Pencipta. Justeru Allah berhak melakukan apa juga hukuman ke atas setiap  makhluk yang menjadi  milikNya.Apakah ia mengembirakan atau yang tidak dapat diterima oleh akal manusia yang bersifat lemah dan nisbi. 
   Sebaliknya golongan yang ingkar dan tak sedar diri dari kaum Yahudi dan Nasrani, sering merasakan diri mereka benar lantaran sentiasa menerima untung dan laba di dalam kehidupan.Tak jauh bezanya saudara2 yang seagama dengan kita tetapi ingkar pada perintah Allah. Mereka hanyut dengan kemewahan dan kedudukan. Walau tidak solat atau puasa , mereka sentiasa terhindar dari kuatkuasa undang-undang sehingga akhirnya mereka merasa yakin kehidupan mereka berada dalam keampunan Tuhan.
    Ini istidraj dan sangat merbahaya untuk seorang hamba. Lantaran kerana murka , Allah langsung mendulur apa mahunya insan tadi. Bagaikan Firaun yang diberikan kelebihan untuk menjadikan dia lebih berbangga dan sombong. Seumpama mampu menurunkan hujan atau mematikan manusia secara kebetulan, dia akhirnya mengakui menjadi tuhan.
    Wal Iyazubillahi Min zaalik. Waspadalah dlm penipuan seumpama ini. Lihatlah diri, apakah anda masih mengaku benar pada perkara yang dianggap baik oleh Allah? Umpamanya solat dan puasa itu baik dan bermanfaat dlm diri seorang insan?. Andai hati kecil anda mengatakan solat itu belum waktunya pada anda, perbanyakkanlah istighfar dan bertaubatlah mulai sekarang. Sesungguhnya nikmat berfikir secara benar dan jujur pada anda telah diCABUT oleh Allah dari anda.

MOGA KITA SENTIASA DLM CINTA KASIH ALLAH YANG BERPANJANGAN. AAMIIN.

           




  

 

3 comments:

Unknown said...

penulisan yg dapat memberikan kesedaran..semoga kita semua istiqamah dlm melakukan amalan menuju akhirat

Nuurdibhas said...

InsyaAllah, moga menjadi amal yang diterima di sisiNya. Aamiin.

ridhwan bin ibrahim said...

InsyAllah.. moga menjadi amal ....amin